Monday, October 25, 2010

* antara cinta dan suka *

Di hadapan orang yang kita cinta,
hati kita akan berdegup kencang...
Tapi di depan orang yang kita suka,
hati kita akan gembira...

Di depan orang yang kita cinta,
musim sentiasa berbunga-bunga...
Di depan orang yang kita suka,
musim itu cuma berangin sahaja...

Jikalau kita lihat di dalam mata orang yang kita cinta,
kita akan kaku...
Tapi jikalau kita melihat ke dalam mata orang yang kita suka,
kita akan tersenyum...

Di depan orang yang kita cinta,
lidah kelu untuk berkata-kata...
Di depan orang yang kita suka,
lidah bebas berkata apa sahaja...

Di depan orang yang kita cinta,
kita menjadi malu...
Di depan orang yang kita suka,
kita akan tunjukkan imej yang sebenar...

Kita tidak boleh merenung mata orang yang kita cinta...
Tepi kita selalu merenung mata orang yang kita suka...

Bila orang yang kita cinta menangis,
kita akan turut menangis...
Bila orang yang kita suka menangis,
kita akan turut membuat dia gembira...

Perasaan cinta bermula dari mata,
Perasaan suka bermula dari telinga...
Jadi, jikalau kita berhenti menyukai seseorang yang kita suka...
Umpama kita membuang telinga kita
Tapi jika kita cuba menutup mata
Cinta berbuah menjadi airmata

Sunday, October 24, 2010

*isteri pertama*

SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

PEDAGANG itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

BEGITU juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

SAMA halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

SUATU ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

LALU dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, ku berikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

PEDAGANG yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

LALU dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan ku buatkan makam yang indah buatmu."

JAWAPAN itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan ku biarkan kau seperti ini isteriku."

SAHABAT, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kubur mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA
adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Tuesday, October 12, 2010

* Kau Ilhamku *

Dia segera beralih ke helaian seterusnya. Kali ini tulisan tangan Qaleeda memenuhi muka surat itu. Mata Naemaa terpaku kepada setiap baris ayat yang dikarang itu. Bagai terngiang-ngiang suara Qaleeda membaca barisan ayat yang ditulisnya itu.

1 Jan 2010 (Jumaat)
- Here without Naem -

Hari ini aku ke tempat kerja dengan semangat baru. Tapi aku masih berharap keputusan yang dia buat berubah tak lama lagi. Kenapa kau buat keputusan bodoh macam tu Naem Kau dah tak sayangkan persahabatan kita ke? Tak apalah, aku dah janji dengan diri sendiri tak akan paksa kau lagi lepas ni. Aku akan biarkan keadaan berlaku mengikut takdir. Apa pun aku selalu ingatkan kau Naem.

Pagi tadi aku bersarapan dengan Auntie Nab. Tekak tak ada selera. Auntie tak habis2 cerita pasal persiapan kahwin Lini. Haiii tekanan betul. Tapi aku dengarkan aje. Yelah, orang tua memang macam tu kot? Hehehehehe….

Petang tadi ada jamuan. Ah, perut aku rasa nak meletup dah. Apa tak nya, dari pagi tadi asyik makan aje. ‘Buangnya’ tak. Perut pun dah mula rasa sakit ni. Mintak2 lah esok lusa semua benda yang aku makan keluar dengan selamat. Seksa !

Rasa macam nak SMS Naem. Tapi dia mesti tak akan balas. Aku tau dia dah ada Shima. Ah, perempuan tu buat aku sakit hati. Aku tak suka Naem membanding2kan aku dengan dia. Naem tak patut buat macam tu. Dia sengaja nak sakitkan hati aku. Tak apalah…

Ok, dah malam. Ngantuknya! Aku harap esok mood aku datang semula. Sebenarnya tahun baru ni aku tak rasa gembira pun. Rasa kehilangan yang amat sangat.

‘Auntie Nab tak habis2 cerita pasal persiapan kahwin Lini. Haiii tekanan betul.’

Tertekan? Kenapa nak tertekan? Sepatutnya dia gembira. Naemaa berasa agak pelik dengan perasaan Qaleeda itu. Padanya, ketika itu Qaleeda patut bergembira menghitung hari tarikh perkahwinannya.

Namun dia mengagak tekanan Qaleeda mungkin disebabkan faktor jarak. Qaleeda di Johor manakala tunangnya Rais di Kuala Lumpur. Agak sukar sebenarnya untuk mereka merancang persiapan perkahwinan dalam keadaan yang demikian. Naemaa akur dengan perasaan yang dirasakan temannya itu.

‘Aku tau dia dah ada Shima’. Naemaa merenung ayat itu lama-lama. Shima kenalannya yang bertugas di salah sebuah akhbar tempatan. Ya, selepas ketiadaan Qaleeda, Shima muncul dalam hidupnya. Perwatakan gadis itu saling tak tumpah seperti Qaleeda. Namun usianya lebih dua tahun daripada mereka. Kehadiran Shima sering mengingatkan dirinya kepada Qaleeda.

Malah tumpuannya kepada Shima semakin bertambah sejak mengetahui Qaleeda sudah bertunang dan akan berkahwin. Baginya, 'adik bongsunya' itu sudah ada penjaga. Tapi, nyawa Naemaa bagai mahu tercabut ketika menerima khabar itu. Padanya, Qaleeda rasa bahagia, tapi dia yang derita. Sejak itu dia bagaikan jauh hati dengan Qaleeda. Malah dia berazam tak akan menghubungi teman kesayangannya itu lagi. Naemaa sungguh berkecil hati dengan keputusan Qaleeda. Naemaa terasa dirinya dibelakangi Qaleeda. Salah ke kalau dia menjadi orang pertama mengetahui berita gembira itu? Namun sebaliknya berlaku.

Tapi Qaleeda tak putus-putus menghubunginya tak kira dalam apa jua cara sekali pun. Kadang-kadang naik menyampah pun ada. Sebenarnya dia pun tak pasti bagaimana perasaan sayang kepada Qaleeda yang ditanam sejak lapan tahun lepas bertukar kepada benci. Sebenarnya bukan benci, tapi kecil hati. Dengan mudah pula rasa itu beralih kepada Shima. Naemaa tak pernah terbayangkan yang dia dan Qaleeda akan berhadapan dengan situasi begitu. Selepas pertunangan Qaleeda, mereka bagaikan tak pernah rapat. Panggilan ‘adik’ yang diberikan kepada Qaleeda juga jarang digunakan setiap kali bercakap dengan Qaleeda.

Naemaa ingat lagi, selepas itu juga, dia dah jarang nak SMS Qaleeda. Malah setiap SMS Qaleeda akan dibalas dengan ayat yang menyindir dan berunsur peringatan. Dia tahu agak keras caranya, tapi hatinya juga perlu dijaga. Dia tak mahu Qaleeda terus membayangi hidupnya lagi. Bukan senang nak lupakan Qaleeda. Sakitnya masih berbekas hingga kini.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Sengaja dia lambat-lambat menjawab panggilan itu. Rasa sedikit terhibur dengan lagu ‘Menatap Matamu’ nyanyian Aril AF7 yang menjadi nada deringannya. Padanya lagu itu menyimpan kenangan yang indah.

“Hello Naem, dah tidur ke? Sorry ganggu you malam-malam ni.” Suara serak basah Ann kedengaran di hujung talian. Ann wartawan di salah sebuah akhbar Cina tempatan. Bahasa Melayunya agak fasih. Naemaa senang berkawan dengan gadis Tiong Hua itu. Tak berkira dan mudah bekerjasama. Sering membantu Naemaa jika Naemaa tak sempat hendak membuat liputan berita yang kebetulan dihadirinnya.

“Belum, kenapa? You memang suka ganggu I malam-malam,” seloroh Naemaa. Dia tahu Ann tak akan ambil hati dengan kata-katanya. Ann tergelak kecil.

“Esok Datuk invite you tak? Soal Ann.

“Ada kenapa?” Balas Naemaa sambil tangannya menutup diari itu perlahan-lahan. Kemudian disorong ke bawah bantal.

I tak tahu tempat. Kat mana ha?” Nada Ann seakan risau. Apa tidaknya, assignment esok bermula seawal jam 8.30 pagi. Dalam keadaan Ann yang tak berapa mahir dengan kawasan Subang Jaya, pasti esok bakal membuatkan dia kelam-kabut.

You tunggu kat tempat biasa. Nanti I datang then you follow I je la. Tempat tu jauh. Kawasan kampung. Biasalah Datuk kan suka masuk kampung. Nak tinjau masalah pelupusan sampah haram,” panjang lebar Naemaa bercakap. Sememangnya dia langsung tak keberatan untuk membantu rakan wartawan jika mereka memerlukan bantuan. Sebab itu Naemaa popular dan disenangi ramai.

“Ok. Thanks. Esok I belanja you makan. Hehehe…” Nada Ann kembali ceria.

“Ingat jangan pakai skirt pulak. Kasut tumit pun jangan. Nanti terbenam dalam tanah siapa nak tolong you?” Sempat juga Naemaa berpesan. Anak Cina yang seorang ini gemar berkain pendek berbanding seluar.

“Yelah. Nanti I pakai selipar tak pun boot macam you ye?” Ann ketawa lagi. Naemaa tak terasa dengan gurauan itu. Benar dia senang mengenakan kemeja dan jeans serta kasut but kesayangannya setiap kali keluar bekerja. Padanya itu sudah cukup selesa dan meyakinkan. Malah sejak di UiTM dulu dia sudah berpakaian begitu.

Naemaa berjalan ke bilik air selepas talian dimatikan. Dia membasuh muka. Kemudian memandang cermin yang tergantung di bahagian atas sinki bilik airnya itu. Dia nampak perubahan pada wajahnya. Matanya agak kedalam. Mukanya yang dulu sering dikatakan Qaleeda sebagai ‘bulat macam pinggan’ semakin cengkung.

Bagaikan rutin, Naemaa sekali lagi melihat gambar-gambar yang terkandung di dalam kamera digitalnya itu. “Rindu sangat aku kat kau dik!” Akhirnya ayat itu terpacul keluar daripada mulut Naemaa. Ye, ‘adik’. Qaleeda ibarat adik bongsu dalam keluarga Naemaa walaupun mereka sebaya. Susuk tubuh Qaleeda yang kecil di kalangang keluarga Naemaa mendorong panggilan itu digunakan kepada teman kesayangannya, Qaleeda. Air mata Naemaa berlinang, menemani tidur Naemaa malam itu.

Wednesday, October 6, 2010

* minat sampai mati *

Assalamualaikum..

LAMA sungguh tak meleret-leret dalam blog. Bukan apa, tak ada idea. Idea yang ada hanya ditumpukan kepada *Kau Ilhamku*. Hahahahaha....Ayat macam bagus je. Penulis terkenal pun tak keluarkan statement macam ni. Hmmmmmm...Apa nak buat. Dah minat.

SEKALI pandang, penulisan dianggap sebagai perkara biasa. Ada yang anggap ia sebagai tugasan hakiki. Ada juga yang anggap, penulisan adalah seni. Bagi aku, penulisan melambangkan peribadi. Sebab? Tak tahu lah kan, mungkin setiap kita mempunyai pandangan berbeza mengenai sesuatu perkara. Contohnya penulisan. Bila aku membaca sesuatu artikel, perkara utama yang aku akan lihat, lenggok penceritaan yang digunapakai si penulis. Kalau kaku macam batu, memang membosankan. Kecuali topik yang dikarang tu mempunyai aura tersendiri untuk memancing pembaca. Secara automatiknya artikel itu mampu berdiri sendiri.

AKU sukakan penulisan yang bersahaja tapi berisi. Sebab tu aku suka sangat membaca blog orang. Banyak benda yang aku boleh belajar terutama mengenai emosi. Sedar tak sedar, manusia akan melepaskan emosi dalam apa jua bentuk. Bergantung pada minat dan kebolehan masing-masing. Bagi yang kaki melukis, emosi mereka akan tersalur dalam lukisan. Bagi yang suka mengarang, si pembaca pasti akan dapat menghidu emosi si pengarang dalam karya yang terhasil.

TAPI bagi aku, penulisan akan terhasil bila aku sedih. Tak tahu kenapa. Bila sedih, aku akan menulis. Tapi bila mood aku ok dan gembira, niat nak menulis langsung tak ada. Dulu masa gila dengan diari, aku hanya akan menulis mengenai perkara yang menyedihkan. Hal-hal yang menggembirakan ada juga, tapi tak sebanyak cerita mengenai kesedihan. Entah apa-apa je aku ni. Tapi tu lah, mungkin sebab minat.

CEMBURU benar rasanya setiap kali terbaca by-line kawan-kawan yang kini gah di medan penulisan masing-masing. Nur Farhana Abdul Manan (Sinar Harian Subang Jaya), Izyan Liyana Mohd Dariff (KOSMO!), Ferzalfie Fauzi, Muzdalifah Mustapha, Farabi Al-Jabri (Utusan Malaysia)dan yang lain (ramai lagi yang hebat), sesungguhnya aku sebak dan gembira setiap kali terbaca artikel kamu semua. Apa pun aku bangga sebab korang teruskan perjuangan..All the best!

DAN aku.....Akan sentiasa menyokong dunia penulisan!

Monday, October 4, 2010

*Kau Ilhamku*

LETIH benar badan Naemaa. Selesai solat, dia duduk merenung diari hitam kuning itu. Semalam dia langsung tak berkesempatan melihat diari itu. Pulang ke rumah dia terus tidur. Terlupa tentang diari dan kamera digitalnya itu.

Naemaa memegang diari itu. Jarinya mengusap-usap lembut huruf ‘Q.A.L.E.E.D.A’ yang ditulis kemas pada tepi bahagian bawah diari. Itu tulisan tangan Qaleeda. Masih sama seperti dulu. Kemas dan cantik. Ramai yang memuji tulisan itu dulu dan satiap kali dipuji, Qaleeda hanya tersenyum. Senyuman Qaleeda juga masih segar diingatan Naemaa. Dia menarik nafas dalam-dalam.

Dadanya bergetar bila kulit hadapan diari dibuka. Sebelum ini Naemaa tak pernah menyelak mana-mana helaian diari itu. Apa yang ada di dalamnya pun dia tak tahu. Namun Naemaa tahu diari itu bukan yang pertama buat Qaleeda. Teman kesayangannya itu gemar menulis apa saja di dalam diari sejak zaman sekolah lagi. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan membawanya kepada dunia kewartawanan.

Biarpun baru dua tahun bergelar wartawan, Qaleeda terpaksa akur dengan harapan keluarganya. Dia terpaksa menerima tawaran untuk berkhidmat dengan kerajaan. Keputusan itu juga yang memisahkan mereka. Qaleeda berpindah ke Johor Bahru. Bertugas sebagai pegawai kerajaan di salah sebuah jabatan di sana. Perit untuk Naemaa menerima keputusan itu. Dia bagaikan hilang arah bila terpaksa hidup tanpa Qaleeda. Namun dia menerima takdir itu dengan redha.

Tumpuan Naemaa beralih kepada poket kecil yang terdapat pada sisi kulit diari itu. Terdapat business card milik Qaleeda. Di bahagian lain terdapat beberapa keping gambar bersaiz 4R. Naemaa menarik keluar kepingan itu. Gambar konvokesyen mereka tahun 2007, gambar Qaleeda sekeluarga, gambar pertunangannya tahun lepas serta dua keping gambar mereka ketika masih belajar di UiTM. Kesemuanya masih dalam keadaan baik. Entah kenapa Naemaa tergerak hati untuk melihat ke belakang gambar mereka itu. Dia mengetap bibir tatkala terpandang sebaris ayat yang ditulis Qaleeda. ‘Me & My Everything’.

Naemaa segera mencium kedua-dua gambar itu. Hatinya kembali sebak. Kali ini esakannya kian kuat. Berulang kali dia mencium kedua-dua gambar itu. Rasa rindu untuk memeluk tubuh kecil Qaleeda semakin kuat. Rasa rindu untuk mendengar bebelan Qaleeda kian tebal. Rasa rindu untuk melihat Qaleeda menarik muka masam datang bertimpa-timpa.

Setelah tangisannya reda sedikit, dia menyelak helaian pertama. Muka surat ini mengandungi Year Planner untuk bulan Januari dan Februari. Begitu juga dengan muka surat berikutnya. Selakan terhenti bila terpandang muka surat yang mengandungi kalendar Mei dan Jun. Jelas pada pandangan Naemaa tulisan tangan Qaleeda pada tarikh 5 Mei. ‘Birthday My Naemaa’. Kemudian pada tarikh 29 Mei. ‘My Rais turn to 27th’.

Qaleeda memang gemar mencatat harijadi kenalannya di dalam diari. Malah tarikh-tarikh penting berkaitan dirinya dan Naemaa turut terkandung di dalam kalendar diari itu. Bagaikan mahu pecah dada Naemaa bila mendapati temannya itu masih mengingati tarikh kelahiran ibu serta adik-beradiknya yang enam itu. Malah ulang tahun pemergian arwah abahnya turut dicatat sama. Naemaa pasti kesemua tarikh itu pasti disimpan sama dalam kalendar telefon bimbit Qaleeda. Ya, itulah kelebihan Qaleeda. Kini Naemaa mengagumi tindakan teman kesayangannya itu. Dia menyesal kerana pernah suatu ketika dulu, tindakan itu tak pernah dihargainya. Terima kasih Qaleeda !