Tuesday, September 21, 2010

*Kau Ilhamku*

Selepas selesai solat, Naemaa duduk di hujung katil. Rasa kesal mula menyelinap masuk ke dalam hatinya. Sepanjang minggu lepas dia langsung tak hiraukan perkara yang wajib itu. Lima waktu dibiarkan berlalu tanpa rasa bersalah. Dia hanya melayan perasaannya yang ketika itu hanyut entah ke mana. Naemaa kesal kini. Sesungguhnya dia manusia yang masih belum sempurna. Jiwanya masih belum kuat untuk melawan hasutan syaitan.

“Ya Allah, berdosanya aku”. Hatinya sayu. Terasa malu pada tuhan tatkala menadah tangan berdoa sebentar tadi. Teresak-esak dia menangis. Setiap butir yang diucapkan keluar secara spontan. Naemaa tak mengarangnya. Apa yang diucap datang dari hatinya yang dirundung kesedihan tak terperi. Agak lama dia duduk bersimpuh di atas sejadah. Kakinya mula terasa kebas. Naemaa bukan boleh duduk lama-lama begitu. Mudah saja sakitnya datang.

“Boleh tak kau lunjurkan kaki ni?” Suara Qaleeda agak keras. Dia marah dengan tindakan Naemaa yang membengkokkan kakinya dek kerana geli diurut. Tapi Naemaa langsung tak takut, malah dia hanya ketawa sampai merah muka.

“Aku geli la!” Jeritnya. Tapi selepas itu dia menghulur kembali kaki yang sakit itu ke peha Qaleeda. Wajah temannya itu masih mencuka. Naemaa tahu Qaleeda marah. Tapi dia tak ambil kisah sebab sikap Qaleeda memang begitu. Marahnya tak lama. Cuma kena tahan telinga sebab bebelan demi bebelan akan keluar daripada mulut Qaleeda.

Rajuk dan marah Qaleeda reda bila Naemaa melawak. Akhirnya mereka akan ketawa terbahak-bahak. Penat bercerita, masing-masing tidur. Sebantal dan sekatil. Memang ada yang curiga tapi bagi mereka, semua itu bukan perkara ganjil. Keakraban persahabatan mengatasi segalanya.

Naemaa cuba membetulkan pembaringannya. Siling yang kosong ditenung lama. Matanya masih tak mahu lelap. Lantas dia bangun mencapai kamera. Jarinya ligat menekan butang ‘play’. Gambar muncul satu persatu di atas skrin. Sesekali Naemaa tersenyum. Sesekali wajahnya bagai tak berperasaan dan kali ini air mukanya bertukar suram. Wajah Qaleeda terpampang pada skrin. Senyuman Qaleeda benar-benar ikhlas ketika itu. Menerima hadiah harijadi daripada Naemaa sempena ulang tahunnya yang ke-19. Sambutan mengejut yang serba sederhana dirancang Naemaa dan beberapa rakan kolej kediaman yang duduk di aras sama. Nama kolej itu pun Naemaa tak lupa. Kolej Teratai 3.

Kek untuk Qaleeda dibeli atas bantuan rakan Naemaa yang tinggal di luar kolej. Ketika hendak keluar mengambil kek, Naemaa sengaja mengunci pintu bilik. Takut benar dia kalau-kalau Qaleeda keluar dari situ. Mujur ketika itu Qaleeda sedang leka mengulang kaji. Tak perasan dirinya ‘dikurung’. Suasana di bilik bertukar meriah bila mereka meluru masuk sambil menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ untuk Qaleeda.

Nyata Qaleeda terkejut. Namun Naemaa tahu temannya itu gembira. Naemaa ingat lagi bagaimana bersusah payah dia ke Plaza Alam Sentral (PAS) sendirian mencari hadiah untuk Qaleeda. Nak beli yang mahal-mahal, dia tak mampu. Duit biasiswa yang diterima cukup-cukup untuk belanja satu semester. Dia kena berjimat. Akhirnya, cawan kaca berlukiskan kartun Mickey dan Minnie menjadi pilihan. Melodi ‘Happy Birthday’ kedengaran setiap kali cawan diangkat. Itu yang memikat Naemaa.

Tapi Naemaa agak kesal sebab dalam riuh rendah menyambut hari kelahiran itu, hadiah untu Qaleeda itu terlepas jatuh ke lantai. Hanya Naemaa tahu apa isi hadiah itu. Dia bimbang kalau cawan itu pecah. Tentu Qaleeda rasa tak gembira. Tapi syukur ia masih elok. Muzik pun masih ada.

Tak sangka rakan lain turut berkongsi sesama sendiri membeli hadiah hari jadi untuk Qaleeda. Selain cawan daripada Naemaa, ada tiga empat hadiah lagi yang Qaleeda terima. Malam tu aktiviti ulang kaji bertukar kepada sesi kejar mengejar sesama mereka. Kek hari jadi dipalit ke muka sesiapa sahaja. Lintang pukang Qaleeda lari menyelematkan diri sehingga memaksa dia menyorok di dalam bilik teman lain. Kasihan Qaleeda.

Naemaa menyeka air matanya yang berlinang. Suasana malam yang sunyi menambah lagi duka kesedihannya. Dia rindukan temannya Qaleeda. Kalau dulu, bila teringatkan Qaleeda, dia akan hantar khidmat pesanan ringkas (sms). Walaupun ada yang tak berbalas, tapi Naemaa tahu Qaleeda menerima dan membacanya. Tapi kini, kalau hantar sms, tak akan ada yang menerima apatah lagi membacanya. Naemaa sebak. Sebak mengenangkan bagaimana keadaannya menempuh hari mendatang tanpa Qaleeda.

Naemaa tak tahu pukul berapa dia melelapkan mata. Terlalu banyak kenangan yang dikenang malam tadi. Bateri kemera pun terpaksa di cas sebaik bangun pagi. Semuanya gara-gara asyik mengulang tengok gambar-gambar ketika bergelar pelajar dulu. Tapi Naemaa tak kisah. Baginya, itu sahaja cara untuk melepas rindu. Rindu pada Qaleeda.

2 comments: