Wednesday, September 8, 2010

* Kau Ilhamku *

*SATU*

“Naem, jom makan.” Panggilan Syila hanya dibalas dengan senyuman. Naemaa menggeleng. Tumpuannya kembali kepada skrin komputer di depan mata. Jarinya ligat menaip satu persatu huruf pada papan kekunci. Sesekali dia menoleh pada beberapa helaian kertas yang agak berselerak di tepi skrin.

Syila dan dua lagi rakan memerhati sejenak tingkah laku rakannya yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Namun dia faham mengapa ianya terjadi. Syila tak mahu memaksa Naemaa. Dia hanya berlalu keluar dengan perasaan simpati. Baginya, makan tengah hari kini bertukar menjadi sunyi sepi. Tak ada lagi gurau senda dan gelak tawa Naemaa.

Tumpuan Naemaa hanya seketika. Bingkai gambar di sisi kanan meja ditenung lama-lama. Gambarnya dan Qaleeda sewaktu mereka masih menuntut dalam semester tiga Diploma Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tujuh tahun lepas. Jelas kelihatan wajah keanak-anakan mereka. Kalau dulu dia akan tersenyum setiap kali terpandang gambar itu, tapi kini dia akan menangis. Terasa dia sudah kehilangan segala-galanya.

Kandungan mesej yang diterima tadi dibaca berulang kali. Otaknya bagai berhenti berfikir. Dia tak tahu apa yang perlu dibalas kepada si pengirim. Hatinya berbisik, ‘maaf Rais’. Telefon bimbitnya disimpan kembali ke dalam beg yang disilangkan ke tepi badan. Padanya, itu yang terbaik buat masa ini. Naemaa yakin. Tugas yang tergendala di sambung kembali.

BUNGKUSAN makanan itu langsung tak dihirau. Syila memandang Naemaa. Wajah rakannya yang dulu berisi kini semakin cengkung. Dia tahu apa yang ditanggung Naemaa kini. Tapi dia tak mampu untuk mengurangkan kesengsaraan itu. Dia juga tahu Naemaa perlukan masa. Sebab itu dia tak terlalu mendesak Naemaa untuk melakukan itu dan ini. Seperti selalunya, dia berlalu meninggalkan Naemaa. Walaubagaimana pun, dia amat berharap Naemaa akan menjamah makanan yang dibelinya tadi sebelum petang. Bimbang ia akan basi.
“Hello Naem, tengah buat apa?” Kedengaran lembut suara di hujung talian. Naemaa menarik nafas panjang. Terasa sebak untuk bersuara.
“Kerja,” jawabnya ringkas. Sebenarnya dia tak mampu nak berkata-kata. Setiap kali nak bercakap, air matanya akan mula bergenang.
“Naem, Yana minta maaf. Yana tak dapat datang hari tu. Yana dapat berita pun dah lewat. Maafkan Yana.” Beriya-iya Yana menuturkan ayat itu. Mata Naemaa mula berkaca-kaca. Bugkusan makanan yang satu itu kelihatan pecah menjadi tiga dan empat bungkusan. Air mata Naemaa tumpah lagi. Kali ini tiada esakan. Dia tak mahu menarik perhatian Syila yang sentiasa peka dengan pergerakan dirinya kini.
“Tak apa Yana. Aku tak kisah. Lagi pun semuanya dah selamat. Kau doakan untuk dia ye?” Kali ini Naemaa menekup mulutnya sendiri. Esakannya semakin kuat namun masih belum sampai ke pendengaran Syila. Yana terdiam di hujung talian. Mungkin dia juga turut menangis. Agak lama talian sepi.
“Yana, mintak tolong yang lain sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah,” Naemaa menyambung kembali perbualan. Kali ini dalam nada agak tegas. Air matanya dikesat perlahan-lahan. Sudah bayak kali dia berjanji pada diri sendiri yang dia tak akan menangis lagi. Tapi janji hanya tinggal janji. Naemaa tewas dengan perasaan sendiri.

Agak lama untuk Naemaa mengembalikan semula semangat untuk menyambung kembali tugasan yang tergendala tadi. Walaupun ketua editornya belum bersuara, namun Naemaa faham, tugasan hari ini perlu dihantar untuk semakan sebelum jam lapan malam. Kini jam lima petang, Dia hanya ada masa lebih kurang tiga jam untuk menyiapkan dua lagi berita yang tinggal. Mahu tak mahu, Naemaa terpaksa juga memerah otak untuk mengarang ayat demi ayat sehingga terbentuknya satu perenggan seterusnya menghasilkan sebuah berita lengkap. Kerjanya jadi mudah jika tak ada yang mengganggu fikiran.

No comments:

Post a Comment