Monday, September 6, 2010

* Kau Ilhamku *

*PROLOG*

AIR mata Naemaa dah tak mengalir seperti dua hari lepas. Waktu itu dia menangis bagaikan hanya mempunyai peluang sehari sahaja untuk mengeluarkan air mata. Rasa malu menangis di khalayak terutama rakan sekerja bagaikan hilang sebaik menerima berita sedih itu. Perasaan hibanya bertambah bila satu persatu wajah rakan sekolejnya datang bersalam dan memeluknya erat-erat. Tak ada langsung kata-kata yang mampu dikeluarkan daripada mulutnya mahu pun mereka yang datang. Hanya kedengaran esak tangis yang bertali-tali.

Diari hitam kuning yang berada di depan mata masih ditenungnya sayu. Sudah tiga hari dia tidur bertemankan diari itu. Dia masih belum ada kekuatan untuk menyentuh apatah lagi membaca helaian demi helaian yang terkandung di dalam diari itu. Hatinya bagaikan dihiris apabila terpandangkan nama si pemilik diari yang terletak pada bahagian bawah diari tersebut. Air matanya mula bergenang. Matanya dipejam rapat-rapat. Berat sungguh ujian yang diterimanya kini.

Badannya mula panas. Tekaknya kian perit. Kepala semakin berdenyut. Namun Naemaa tak menjadikan ketidakselesaan itu sebagai sebab untuk dia berbaring seharian di atas katil. Perutnya juga pedih. Seingat Naemaa, kali terakhir dia menjamah makanan tiga hari lepas. Itu pun waktu sarapan bersama beberapa rakan kerjanya di kafeteria bangunan pejabatnya.

Makanan yang disediakan rakan serumah langsung tak disentuh. Dia hanya minum bila terasa dahaga. Perutnya bagai mengerti kesedihan yang ditanggung Naemaa. Langsung tak ada rasa lapar yang mencucuk-cucuk seperti selalunya. Tapi Naemaa tak ambil peduli semua itu.

Komputer riba dan kamera yang berada di atas meja kecil di sisi katil dipandang sekilas. Bagaikan ada sesuatu yang mendorongnya untuk mencapai kamera digital itu. Jarinya menekan butang ‘on’ kemudian butang ‘play’. Kali ini air matanya tak mampu dibendung. Bahunya terjungkit-jungkit menahan esak. Bimbang tangisannya dipagi hari didengari rakan serumah.

Setiap imej yang terpapar pada skrin kamera ditatap satu persatu. Hanya bila imej Qaleeda yang muncul, dia akan mengetap bibir. Dadanya bagai mahu pecah menahan sebak. Semua gambar yang dirakam tiga tahun lepas sengaja dipindah masuk semula ke dalam kad memori kameranya itu. Baginya, bila terasa rindu, mudah untuk dia melihat kembali gambar-gambar berkenaan.

Selama ini, Hanya gambar yang menjadi temannya ketika hendak tidur. Hanya gambar yang mengisi rasa sepinya ketika bersendirian di rumah. Hanya gambar yang membantunya mengubat rindu kepada rakan-rakan sekelas. Sehingga dia tak mampu nak bayangkan kalau suatu hari nanti, kesemua gambar itu hilang daripada simpanan kad memorinya. Naemaa tak ada bahan kenangan lain selain daripada gambar-gambar itu.

Detik jam pada dinding bilik semakin lemah dipendengarannya. Jam berapa dia tidur, pukul berapa dia bangun langsung tak dihiraukan. Dia hanya mengikut gerak hati. Kalau rasa nak tidur, Naemaa akan berbaring sambil memeluk kameranya. Begitu juga setiap kali terjaga. Kamera akan diletakkan di atas meja dan beralih pula kepada diari hitam kuning itu. Diari itu ada semua kisah yang pernah menjadi asam garam hidupnya beberapa tahun yang lepas. Ya. Diari itu.

2 comments: