Monday, September 27, 2010

* Kau Ilhamku *

*DUA*

WAJAH Yana dan Azlin dipandang silih berganti. Naemaa tak tahu nak mula bercakap tentang apa. Lidahnya kelu. Tak macam kebiasaannya, dia akan mula bercerita tanpa henti. Sering kali cerita yang keluar mengundang tawa rakan yang mendengar. Pendek kata, Naemaa bijak memulakan perbualan. Sikap itu yang disenangi kenalannya. Tak hairan kalau dia ramai kawan.

“Naem assignment kat mana tadi?” Soal Azlin lembut. Dah lama benar dia tak jumpa Azlin. Sejak rakannya itu pulang belajar dari Amerika Syarikat, tak pernah sekali mereka bertemu. Hanya berhubung melalui Facebook. Ya, laman sosial yang semakin popular di kalangan masyarakat dunia.

Azlin gadis bijak. Sewaktu di peringkat diploma mahupun ijazah, tak pernah sekali pointer di bawah 3.5. Tak hairan dia berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Master di luar negara. Naemaa bangga mengenali Azlin. Sikapnya yang sederhana begitu menyenangkan semua. Walaupun datang daripada keluarga kaya, tapi Azlin langsung tak pernah meninggi diri dengan apa yang dia ada.

Yana pula rakan yang happy go lucky. Ada saja idea spontan daripadanya setiap kali berjumpa. Walaupun jarang bersua muka, Yana antara rakan yang sering bertanya khabar Naemaa. Malah mereka sering berkongsi berita. Maklumla, masing-masing bekerja di surat khabar berbeza. Agak senang untuk bertukar idea.

“Tadi ada kes jenayah. Tengah tunggu gambar suspek je ni,” balas Naemaa sambil mencapai gelas milo panasnya sebelum bibirnya menghirup perlahan-lahan air kegemarannya itu.

“Eh kau da tukar desk ke Naem? Dulu bukan rencana ? Wah, sekarang dah mantap. Meletop gitu.” Yana tersenyum memandang Naemaa. Namun Naemaa hanya bersahaja.

“Dua-dua aku buat. Rencana ikut turn. Jenayah kalau ada, aku kenalah cover.” Balas Naemaa pendek. Dia memang tak suka bercerita panjang mengenai ruang tugasnya di akhbar itu. Yana hanya mengangguk tanda faham. Azlin pun begitu.

“Yana tadi ada assignment dengan Datuk Siti. Makin cantik dia Naem. Geramnya tengok kulit dia.Ya Allah cantik sangat tau!” Kali ini Yana bersuara sambil melakukan bahasa tubuh yang menggelikan hati. Naemaa tahu Yana begitu obses dengan Penyanyi Nombor Satu Negara itu sejak mereka belajar lagi. Sehinggakan telah berkerjaya, Yana masih mengagungkan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

“Pasal apa tadi Yana? Produk terbaru dia ke album baru?” Soal Azlin yang agak tertarik dengan cerita Yana. Naemaa diam memandang gelagat keduanya. Hatinya sedikit terhibur melihat telatah Yana yang selamba.

“Hmm pasal ‘Simply Siti’ dia tu la Leen. Tapi mahal la. Yana ingat nak cuba tapi takut tak sesuai dengan kulit I la,” balas Yana berseloroh. Azlin ketawa kecil. Naemaa pun tahu serba sedikit mengenai produk kecanitkan milik penyanyi itu. Tapi disebabkan dia bukanlah jenis yang taksub kepada kecantikan, maka apa yang berkaitan mengenainya hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Yana dan Azlin tahu sikap Naemaa yang satu itu. Begitu juga Qaleeda.

“Kak Siti macam mana sekarang? Masih kat Muar ke?” Naemaa tiba-tiba teringatkan Siti Mariah rakannya yang betugas sebagai Pegawai Penerangan di Hospital Muar. Tahun lepas dia keguguran. Ketika itu usia kandungan mencecah lima bulan. Walaupun Naema belum pernah bergelar ibu, tapi dia pasti perasaan yang ditanggung Kak Siti serta suaminya, Abang Rodi.

Yana membetulkan posisinya. Tubuhnya agak ke depan berbanding tadi yang sedikit bersandar di kerusi. Begitu juga dengan wajahnya. Daripada ceria kepada suram.

“Yana ada call dia kelmarin. Kak Siti masih kat Muar. Kesian dia kan? Jauh daripada suami,” terang Yana perlahan. Azlin hanya mengangguk perlahan. Naemaa hanya diam memandang Yana.

“Leen lagi dah lama tak jumpa dia. Sejak balik ke sini tak pernah langsung kita buat gathering party kan? Yana plan la something. Boleh jumpa kawan-kawan. Rindunya kat budak Journalism!” Bersemangat Azlin menuturkan kata-katanya. Riak wajah Yana kembali ceria. Namun Naemaa langsung tidak memberi reaksi.

“Naem nanti kita buat gathering nak? Kita ni nama je duduk KL, tapi lepas habis belajar, semua buat hal masing-masing. Nak-nak kau Naem, sibuk memanjang.” Kali ini Yana serius. Sambil bercakap dia memegang tangan Naemaa yang duduk di hadapannya itu. Yana benar-benar berhajat untuk membuat majlis perjumpaan untuk kawan-kawan lama mereka. Dapatlah dia berjumpa dengan geng mereka yang digelar ‘Geng Pak Samad’.

Nama itu muncul secara tak sengaja sewaktu mereka bertujuh menyewa di rumah milik Encik Samad di Seksyen 7, Shah Alam. Ketika itu mereka berada dalam semester empat Ijazah Kewartawanan di UiTM Shah Alam. Yana, Naemaa, Qaleeda, Kak Siti, Azleen, Nor dan Kak As. Hubungan mereka akrab walaupun kadang-kala ada sedikit pertengkaran. Namun semua itu tak pernah memisahkan mereka.

“Insyaallah”. Ringkas benar jawapan Naemaa. Dia mencapai gelas, menghabiskan sisa minumannya. Walaupun kedua temannya itu tampak bersemangat, namun tidak bagi dirinya. Kalau boleh dia tak mahu berjumpa dengan rakan sekelasnya dalam waktu terdekat ini. Semua itu akan mengembalikan kenangan dia bersama Qaleeda. Naemaa bimbang benar perasaannya gagal dikawal nanti.

“Ok nanti kita confirm semula ye?” Azlin cuba menarik perhatian Naemaa semula yang padanya tampak muram tiba-tiba. Yana hanya diam. Agak lama Naema membisu. Dadanya sebak. Mahu saja dia cepat-cepat beredar dari situ. Namun apa pula anggapan Yana dan Azlin nanti?

Selepas menghabiskan minuman masing-masing, mereka kemudian mengambil keputusan untuk pulang. Tak banyak yang mereka bualkan. Kalau nak diikutkan, banyak topik yang ingin Yana dan Azlin bualkan bersama Naemaa. Tapi keadaan Naemaa seakan tidak berminat untuk berborak panjang seperti selalunya. Malah, tubuh putih gempal Naemaa semakin susut. Mukanya juga cengkung. Wajahnya sayu, tak seceria dulu. Yana faham apa yang ditanggung Naemaa. Tujuannya mengajak Azlin dan Naemaa keluar minum hanya untuk mengurangkan rasa sedih Naemaa. Tapi ternyata dia gagal. Rasa sedih Naemaa masih tebal walaupun sudah lebih sebulan Qaleeda meninggalkan mereka.

4 comments: